Nasional

Isu bekalan makanan berpunca dari ‘kesilapan’ pentadbiran dahulu – Pakar ekonomi

Tindakan pentadbiran terdahulu yang ‘ghairah’ mahu menjadikan Malaysia sebagai ‘negara perkilangan’ antara faktor menyebabkan berlaku krisis makanan yang meresahkan rakyat ketika ini.

Pakar ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma dipetik laporan FMT berkata, ketika era itu, fokus diberikan bagi membangunkan industri sehingga menyebabkan bidang pertanian telah dipinggirkan.

Hasil dari tindakan itu jelasnya, kesannya dapat dirasai hari ini apabila Malaysia terpaksa bergantung kepada sumber makanan import bagi memenuhi keperluan domestik Malaysia.

“Ahli ekonomi kita (pada ketika itu) berkata daripada menggalakkan orang menanam padi, baik kita jadikan tanah untuk (bina) kilang.

“Jadi kita (mula) import beras daripada Thailand, Vietnam, import beras basmathi daripada India serta Pakistan yang lebih murah daripada membenarkan buruh asing di sektor ladang.

“Sekarang apa berlaku? Sektor pertanian terabai dan memberi kesan kepada bekalan.” jelasnya.

Madeline menegaskan, masih tidak terlambat untuk isu keterjaminan makanan itu diselesaikan, dengan negara perlu kembali memberi fokus kepada sektor pertanian.

Bagi tujuan itu beliau turut mencadangkan kaedah pertanian berteknologi tinggi diguna pakai seperti dilakukan kebanyakan negara maju.

“Memang sudah ada usaha ke arah itu, namun penggunaannya di Malaysia belum meluas dan masih bergantung kepada pekerja asing.

“Contohnya di luar negara dia guna ‘dron’ untuk tabur baja tetapi di sini masih lagi guna pam…anak muda tak minat kerana sudah dididik sejak sekolah untuk bekerja dalam pejabat,” tambahnya.

Sebagai rekod, kerajaan mula memberi semula fokus kepada bidang pertanian.

Pada Belanjawan 2024 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM6.17 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dalam sektor tersebut.

Daripada jumlah itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan RM400 juta bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan dengan tumpuan khusus kepada meningkatkan pengeluaran makananyang masih bergantung kepada import.

Related Articles

Back to top button