Negeri

Suburkan semula tradisi lama, Selangor anjur ‘Rewang Komuniti’ mulai tahun depan.

Kerajaan Negeri Selangor berhasrat menganjurkan Rewang Komuniti khusus untuk penduduk di kediaman pangsapuri kos rendah dan sederhana.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Selangor, Borhan Aman Shah ketika berucap merasmikan simposium kesejahteraan bandar di Shah Alam pada Isnin berkata, program itu bakal mula dilaksana awal tahun hadapan.

Usaha itu jelasnya bagi menghidupkan kembali semangat gotong-royong dan kerjasama antara penduduk di kawasan bandar yang sudah semakin berkurangan.

“Kita akan kenal pasti kawasan seperti perumahan pangsapuri lama, yang mungkin sebelum ini mereka mendiami rumah setinggan atau rumah panjang.

“Kelompok ini sudah ada semangat kerjasama dan gotong-royong dahulu, tetapi apabila duduk pangsapuri ia semakin hilang. Malah penyakit pun mula datang kerana kehidupan kurang aktif,” jelasnya.

Borhan yang juga ADUN Tanjung Sepat sementara itu menambah, program Rewang Komuniti akan dianjur selama dua hari satu malam dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dan Pandan Indah dipilih sebagai projek perintis.

Antara pengisian menarik yang dicadangkan adalah kenduri rakyat dan program ilmiah selain sesi ziarah penduduk kurang bernasib baik bersama agensi terlibat.

“Di Selangor, kita ada lebih 400 pemaju berdaftar bawah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda). Tetapi yang bertanggungjawab bangunkan modal insan adalah kita,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button