Nasional

Ujian Penilaian Sekolah Rendah tidak akan dikembalikan – KPM

Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan mengadakan semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sebaliknya, usaha KPM adalah memberi tumpuan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum persekolahan baharu demi memastikan pendidikan masa depan lebih kukuh.

Justeru, Menterinya Fadhlina Sidek meminta ibu bapa dapat memberi tumpuan kepada usaha KPM yang akan mengadakan jelajah atau jerayawara berhubung kurikulum baharu itu.

“Ini kerana kita mahu libat urus yang meluas untuk (mendapatkan) input-input bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara.

“Apatah lagi, sekarang ini kita nak beri tumpuan kepada pentaksiran holistik kepada anak-anak kita khususnya pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya karakter (murid dan pelajar) boleh diperkukuhkan,” katanya

Beliau ditanya mengenai permintaan beberapa pihak khususnya ibu bapa yang mahu UPSR dikembalikan sebagai penanda aras pencapaian anak-anak mereka.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir merasmikan Pelancaran Taman Angkat Amanita Taman Pekaka, di Nibong Tebal, hari ini.

Ogos lalu, KPM melaksanakan satu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian sebagai langkah membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.

Pelaksanaan tindakan segera dilakukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran dijalankan secara efektif dengan merujuk kepada aras yang ditetapkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya UPSR bermula 2021 selepas hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan berkenaan dibatalkan susulan Covid-19.

Related Articles

Back to top button