ekonomi

Kajian daya maju ekosistem SEZ Malaysia-Singapura sedang dijalankan

Singapura dan Malaysia sedang menjalankan kajian daya maju bagi pengukuhan ekosistem Zon Ekonomi Khas (SEZ), untuk mengetahui perkara yang harus ditumpukan pada zon ekonomi tersebut pada masa hadapan.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong semasa sidang media bersama-sama dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Singapura pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, beliau menjelaskan kedua-dua negara kemudiannya akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan hasil daripada kajian tersebut.

“Pada peringkat awal, saya rasa ada tiga perkara yang anda mahu lakukan (dalam SEZ), pertamanya menambah baik aliran barangan antara kedua-dua pihak, kerana dengan adanya SEZ akan ada pengaturan cukai khas dan gudang berbon dan oleh itu akan memudahkan lagi aliran di sempadan.

“Keduanya, penyusunan aliran keluar masuk yang lebih baik dan mudah bagi mereka yang bekerja di kedua-dua belah tambak dan seterusnya syarikat di SEZ akan dapat memperoleh kakitangan yang mereka perlukan, gabungan pekerja profesional, pekerja mahir dan pekerja am lain yang sesuai.

“Ketiganya adalah untuk SEZ mengukuhkan ekosistem wilayah pembangunan Iskandar serta Singapura,” katanya yang berharap MoU itu dapat dimeterai awal tahun depan.

Sebagai rekod, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Pembangunan Nasional Singapura Desmond Lee da;am satu sidang media bersama pada Julai lalu mengumumkan bahawa kedua-dua negara telah bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji penubuhan SEZ Johor-Singapura.

Rafizi berkata pasukan petugas khas itu akan melaporkan kemajuan zon tersebut kepada pemimpin kedua-dua negara pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura.

Related Articles

Back to top button