Semasa

Ahli akedemik diseru gerakkan Gagasan Malaysia Madani sebagai satu etos nasional

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahimmemberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya akan terus memberi dorongan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) khususnya dalam usaha meneroka dan mewujudkan bidang pengajian baharu termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.

Justeru untuk itu beliau menyeru ahli-ahli akademik di negara ini agar gigih menguruskan segala kekacauan dan perubahan yang sedang dan akan berlaku bersama-sama dengan kerajaan serta pemimpin.

Dalam ucapan pada Anugerah Akademik Negara ke-15 di Kuala Lumpur malam tadi, beliau menegaskan kerajaan dan ahli akademik mesti bersama-sama mencari ikhtiar paling baik dan berkesan untuk menghasilkan dapatan ilmu yang berupaya meraikan daya usaha serta daya cipta rakyat tempatan ke arah kemajuan sosial dan budaya yang lestari.

“Apatah lagi dengan segala kelebihan teknologi dan kerancakan gelombang digital. Saya percaya, semua itu membawa kelebihan dan potensi yang boleh diadun untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam ucapan itu juga beliau menegaskan, era terkini menjadikan agenda kemajuan sering bergelut dengan nilai serta moral yang baik, malah pegangan terhadap ilmu dan kesarjanaan turut terhakis secara radikal.

Ketaasuban dan pemikiran sempit, ideologi yang berpaksikan pada kemewahan material dan prinsip yang tidak konsisten juga terus menjadi perkara yang merumitkan keadaan.

“Itu belum lagi kita melihat semua ini dalam lensa global yang menyaksikan pelbagai pertembungan. Pertembungan blok perdagangan, krisis alam sekitar, peperangan dan konflik yang berpanjangan.

“Kesemua ini memberi tempias yang besar kepada negara dan mesti kita uruskan dengan cara yang bukan sahaja berkesan dan strategik, tetapi pantas dan praktikal,” katanya.

Selain menuntut ahli akademik untuk menebalkan rasa tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa serta aspirasi nasional, beliau turut berharap golongan itu akan memain peranan menjadi peneraju akal dan pemikiran bangsa khususnya dalam menggerakkan Gagasan Malaysia Madani sebagai satu etos nasional yang menyeru kepada kebaikan.

Related Articles

Back to top button