Kelantan berisiko banjir lebih teruk jika pemerintahan negeri lulus ubah suai KSAS
Cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) membabitkan kawasan seluas 514,898 hektar oleh Kerajaan Negeri Kelantan mendapat bantahan banyak pihak.
KEADILAN Kelantan bersama 12 NGO pada Khamis menghantar memorandum kepada kerajaan negeri bagi mendesak cadangan pengubahsuaian itu dihentikan.
Timbalan Ketua KEADILAN Kelantan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain berkata, pihaknya bimbang sekiranya cadangan itu diteruskan, negeri itu bukan sahaja akan berdepan penamatan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT), malah lebih membimbangkan negeri itu bakal berdepan banyak kesan negatif termasuk bencana banjir.
“Kami membantah sekerasnya cadangan itu (KSAS) yang boleh menjejaskan ekologi sekali gus membawa bencana di negeri ini khususnya dan berharap memorandum bantahan ini dipertimbangkan demi masa depan Kelantan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita.
Syed Mohd Alidustur sebelumnya menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ketua Penolong Setiausaha Khidmat Pengurusan Pejabat Kerajaan Negeri Imran Mansor.
Antara NGO yang turut membantah cadangan kerajaan negeri itu antaranya Pertubuhan Bantuan Kebajikan Ketereh, Kelab Pautan Kasih Malaysia (KPKM) Bachok, dan Pertubuhan Akal Fikiran Negeri Kelantan (AMK).
Sementara itu, wakil NGO daripada Himpunan Kasih, Dr Rosli Allani Abd Kadir berkata jika cadangan tersebut diteruskan, tidak mustahil Kelantan akan berdepan banjir lebih teruk dan memberi kesan kepada rakyat.
“Banyak perkara akan berlaku dan yang menanggungnya adalah rakyat. Jika pembukaan hutan dilakukan, haiwan yang ada akan terancam dan pastinya akan keluar ke kawasan lain untuk mencari makanan terutama di kawasan penempatan penduduk,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan bercadang menghentikan pembayaran EFT kepada Kelantan jika cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan KSAS di negeri itu diteruskan.
Tegasnya pengubahsuaian KSAS di Kelantan akan memberikan implikasi antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50% keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan dasar Rancangan Fizikal Negara.