Semasa

Wisma Putra usaha bawa keluar Nurul Ain dari Gaza

Kerajaan sedang berusaha membawa keluar seorang rakyat Malaysia Nurul Ain Haron serta suaminya yang terperangkap di Semenanjung Gaza susulan perang Palestin-Israel sejak 7 Oktober lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ditemui selepas menghadiri Majlis Graduasi “Diploma in Diplomacy” (DiD) Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri di Kuala Lumpur pada Jumaat berkata, usaha itu akan digerakkan dengan kerjasama negara ketiga.

“Kita juga telah mendapat maklum balas mengenai kemungkinan laluan di Rafah akan dibuka bagi membolehkan rakyat-rakyat dari luar negara dan mereka yang mempunyai dwikerakyatan iaitu rakyat Palestin dan negara lain untuk keluar,” katanya.

Pintu Rafah di sempadan antara Gaza dan Mesir dibuka buat pertama kali pada Rabu untuk pergerakan manusia keluar dari wilayah bergolak itu sejak ia ditutup selepas tercetusnya konflik.

Nurul Ain menerusi perkongsian terbaharu di TikTok pada Khamis memaklumkan berjaya mengagihkan 500 pek makanan kepada 500 keluarga serta pelbagai barangan keperluan lain.

Sementara itu, Dr Zambry turut memberitahu penghantaran pertama bantuan kemanusiaan bagi rakyat Palestin di Gaza dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir melalui penerbangan kargo sewaan khas hari ini seperti yang dijadualkan.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pihak berkuasa Mesir yang memudahkan proses penghantaran bantuan oleh Malaysia.

“Kita ucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Mesir kerana dalam tempoh yang singkat mereka membenarkan bantuan dari Malaysia untuk sampai.

“Kebiasaannya bagi negara-negara lain untuk sampai ke Lapangan Terbang Al-Arish itu mengambil masa berhari-hari lebih kurang lima enam hari tetapi dalam konteks Malaysia kita mendapat keputusan dalam 36 jam sahaja.

“… ia membolehkan kita membuat persiapan-persiapan untuk penghantaran ke lapangan terbang itu, daripada situ pihak berkuasa Mesir akan melakukan tindakan susulan bagi menghantar barangan ke Rafah,” katanya.

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Oktober lalu mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Republik Rakyat Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya (Heliopolis) di Kaherah, Mesir.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu yang melibatkan warga Palestin yang terus dirampas hak mereka dan terus dibantai tanpa noktah.

Turut dibincangkan adalah usaha bagi memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan melalui sempadan Rafah-Gaza bagi membantu rakyat Palestin.

Related Articles

Back to top button