Ahli Parlimen Jeli pula isytihar sokong PM Anwar
Ahli Parlimen Jeli pada Rabu mengisytiharkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengumuman Zahari Kechik, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu dibuat kurang 24 setelah Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN) mengumumkan perkara sama.
Dalam kenyataanya, Zahari berkata beliau mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan masalah dihadapi rakyat selain mahu memberi khidmat terbaik untuk rakyat diwakilinya.
“Selepas meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan dengan sehabis baik mengenai permasalahan yang dihadapi oleh rakyat terkini mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan dalam kawasan Parlimen Jeli.
“Maka saya sebagai Ahli Parlimen Jeli dengan ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.
“Saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat.
“Sokongan saya ini berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya,” katanya sambil menegaskan sokongan itu dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak sebaliknya atas kerelaan beliau sendiri.
Sementara itu melalui kenyataan sama, Zahari turut menyatakan bersedia berdepan dan menerima risiko dari tindakan disiplin dari partinya.
BACA LAGI: Ahli Parlimen Gua Musang dari PN isytihar sokong PM Anwar
Beliau sekali lagi menegaskan keputusan itu demi memastikan pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan dari Kerajaan Pusat.
“Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku Ahli Parlimen, saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli. Rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi,” jelasnya.