MOTAC sasar 35.6 juta kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan 35.6 juta kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia akan melibatkan anggaran sebanyak RM147.1 billion perbelanjaan domestik.
Justeru, King Sing menyeru kerjasama strategik antara kerajaan negeri, kementerian, agensi dan rakyat untuk memastikan tempoh persiapan menjelang VM 2026 nanti dapat diperkukuhkan
“VM 2026 menyasarkan 35.6 juta pelancong asing dengan anggaran belanja domestik sebanyak RM147.1 billion kerjasama strategik yang melibatkan kerajaan negeri pelbagai kementerian agensi dan penglibatan industri serta sokongan daripada rakyat adalah sangat penting dalam memastikan bahawa program yang dirancang bagi tiga tahun ke hadapan mampu memberi impak ekonomi secara optimum”, katanya
Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM2024) dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama, Melaka.

Sambutan tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan negeri, jabatan dan agensi.
Artis tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuka tirai persembahan pentas dengan menyanyikan lagu rasmi TMM2024, Senandung Anak Melaka berduet bersama penyanyi asalnya, Yaser Fikri.

Selain Siti Nurhaliza, artis lain adalah pasangan beradik Ziana dan Anuar Zain, Zamani, Siti Nordiana dan Ernie Zakri selain penyanyi tempatan seperti Ayu Nyonya Tan, P Radhi, Kenny Lee, Nimalaan dan Datuk Bahrim.
Pelancaran yang diadakan serentak dengan perasmian Tahun Baharu 2024 itu diserikan dengan pelbagai acara pentas termasuk tarian kebudayaan dan persembahan tradisional, sekali gus mewarnai malam pelancaran TMM2024.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, MOTAC mengalu-alukan inisiatif kerajaan Melaka yang menganjurkan TMM2024.
Katanya, kerjasama strategik MOTAC dan kerajaan negeri dalam menganjurkan acara mega bertaraf antarabangsa iaitu World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 yang dijadualkan pada 27 hingga 29 September 2025 juga dilihat mampu memberi impak positif kepada negara.



