Umum

Kerajaan umum tol percuma dua hari sempena Deepavali

Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya dua hari bermula Sabtu hingga Ahad, sempena sambutan perayaan Deepavali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua lebuh raya kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

“Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, pemilihan tarikh itu bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya,” ujar beliau.

Dianggarkan sebanyak 11.8 juta kenderaan berada di lebuh raya dalam tempoh dua hari bagi tarikh tersebut.

Related Articles

Back to top button