Semasa

RTB Sungai Langat dijangka lindungi 120,000 penduduk sekitar apabila siap

Sejumlah RM725.7 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Langat Fasa 1 dan Sungai Langat Fasa 2.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek dibawah Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) itu sebahagian usaha jangka panjang dilaksana kerajaan dalam menangani masalah banjir di sekitar kawasan Dengkil sehingga Labohan Dagang.

“Bagi tindakan jangka pendek, kekerapan penyelenggaraan sistem saliran di kawasan itu telah ditingkatkan oleh pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan lawatan kerja beliau ke beberapa kawasan yang terkesan banjir serta Pintu Air Sungai Semarang pada Sabtu.

Pada masa ini jelas Nik Nazmi, Projek RTB Sungai Langat Fasa 1 sedang dalam proses pengambilan tanah dan dijangka siap pada 2027. Projek RTB Sungai Langat Fasa 2 pula dijangka bermula pada Januari 2024 dan siap sepenuhnya menjelang 2030.

Apabila siap kelak itu bakal melindungi kira-kira 120,000 penduduk di kawasan sekitar daripada impak banjir.

BACA LAGI: Kelantan berisiko banjir lebih teruk jika pemerintahan negeri lulus ubah suai KSAS

Pada 5 Nov lepas, beberapa kawasan dinaiki air akibat hujan lebat berterusan selama sejam termasuk Kampung Sungai Buah, Kampung Jenderam Hilir, Kampung Cemperai, Kampung Seri Tanjung, Taman Delima, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Persimpangan FT29/FT32 dan kuarters Penternakan Ayamas Sdn Bhd di Jalan Utama Taman Warisan Suria.

Dianggarkan sebanyak 148 rumah terjejas dan sejumlah 395 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir berkedalaman 0.2 hingga 0.5m

Related Articles

Back to top button