PM perihatin, beri sumbangan RM50,000 bantu keluarga hilang tempat tinggal
Beban ditanggung sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Pirasan dekat Kota Belut musnah terbakat mendapat perhatian Perdana Menteri
Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar menghulur sumbangan RM50,000 kepada keluarga berkenaan.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu, Shamsul berkata, ia adalah sumbangan untuk meringankan beban, dalam membantu mereka membina rumah baharu.
“Saya bersama pegawai dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) datang ke sini bagi mewakili perdana menteri untuk menyampaikan sumbangan. Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani khususnya Perdana Menteri kepada rakyat yang menghadapi musibah.
“Saya juga berterima kasih kepada banyak pihak lain yang berbesar hati membantu mangsa sebelum ini, khususnya kerajaan negeri,” katanya ketika melawat sekaligus menyampaikan sumbangan tersebut baru-baru ini.
BACA LAGI Kerajaan pertimbang pemberian bantuan tunai khas secara bulanan
Sementara itu, penerima sumbangan Jalin Toh, 70, menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang telah berbesar hati untuk memberikan sumbangan berkenaan seterusnya membantu keluarganya.
Difahamkan, kediaman diduduki satu keluarga besar terdiri dari 25 orang, musnah dalam kejadian 30 Sep lalu.
“Rumah itu adalah rumah kami ini dihuni enam keluarga iaitu anak-anak dan cucu-cucu saya. Kami sangat bersyukur kerana ada pihak yang menghulurkan bantuan sejak kejadian kebakaran itu,” katanya.