PM Anwar harap pembantaian Zionis terhadap etnik Palestin segera tamat
Perdana Menteri yang berada di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-8 berharap pertemuan itu akan mencapai satu penyelesaian kepada kemelut kemanusiaan di Palestin.
Melalui hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata konflik di Gaza yang sudah mengorbankan ribuan nyawa tidak berdosa.
“Pembantaian etnik ini mesti segera dihentikan demi kemanusiaan dan keamanan sejagat,” katanya melalui hantaran itu.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke sidang tergempar yang dihoskan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dan dihadiri oleh pemimpin dan wakil negara anggota OIC.
Perhimpunan itu susulan penglibatan meluas Anwar dengan beberapa pemimpin OIC mengenai isu Palestin dan pencerobohan tentera Israel yang berlarutan.
Semasa sidang kemuncak itu, Anwar akan sekali lagi menyatakan pendirian tidak berbelah bahagi Malaysia berhubung keperluan penting untuk menghentikan tindakan pembunuhan kejam oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, dengan muktamad dan selama-lamanya.
Krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza itu memerlukan perhatian segera dan Perdana Menteri akan menyokong negara anggota OIC dan komuniti antarabangsa untuk menangani kesusahan dan penderitaan yang dialami rakyat Palestin.
Terdahulu pesawat rasmi yang membawa Perdana Menteri dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Arab Saudi, selamat mendarat di Riyadh pada 11.20 pagi ini.
Ketibaan delegasi Malaysia disambut oleh Timbalan Gabenor Riyadh, Putera Muhammad bin Abdulrahman Abdul Aziz.
Turut berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Anwar ialah Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan isteri Datin Zuhaila Abd Latiff.