Semasa

KSM pastikan Malaysia bebas amalan ‘buruh paksa’

Kementerian Sumber Manusia (KSM) mahu memastikan Malaysia bebas dari amalan buruh paksa.

Menterinya, V Sivakumar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan tersebut terhadap pekerja asing di negara ini termasuk sektor pembantu rumah.

Tambahnya, isu sedemikian sentiasa dalam perhatian kementerian, malah arahan sudah diberikan kepada Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana majikan yang didapati melanggar undang-undang.

“Kita mahu memastikan bahawa Malaysia bebas daripada amalan buruh paksa dan ia sudah menjadi aspirasi KSM.

“Kita tidak nafikan tiada kes (buruh paksa) sebaliknya sentiasa berwaspada dan sedia mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang menyalah guna kuasa dan diskriminasi terhadap pekerja,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Deepavali peringkat KSM di Putrajaya pada Isnin.

Sivakumar sebelumnya diminta mengulas mengenai kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berhubung dakwaan penganiayaan terhadap pembantu rumah Indonesia di negara ini.

BACA LAGI: KSM kaji cadangan waktu kerja fleksibel sektor perladangan

Hermono pada Ahad dilaporkan berkata, kira-kira 90 peratus aduan diterima pejabat KBRI berkaitan pembantu rumah menunjukkan trend membimbangkan antaranya tidak dibayar gaji bulanan, dan memerlukan penyelesaian segera serta menyeluruh daripada majikan serta penguatkuasaan ketat.

Mengulas lanjut, Sivakumar mengakui pihaknya ada menerima aduan berhubung kes terbabit sebelum ini dan tindakan telah diambil termasuk menyelamatkan mangsa.

Pada masa sama, Sivakumar berkata, beliau mahu pihak Indonesia membuat laporan segera kepada Jabatan Imigresen (JIM) dan JTK jika wujud sebarang aduan berkaitan supaya tindakan segera boleh diambil.

Related Articles

Back to top button