Politik

Apa lagi Tun M tak puas hati? – Kamil Munim

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim mahu Tun Dr Mahathir Mohammad menjelaskan apa lagi yang beliau tidak berpuas hati terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Selasa beliau mempersoalkan apakah penderitaan puluhan tahun dialami Presiden KEADILAN itu masih tidak cukup kepada Mahathir.

Persoalan itu dikemuka Muhammad Kamil susulan kenyataan Mahathir bahawa Anwar memiliki pendirian berbeza dan menjadi lebih buruk selepas menjadi Perdana Menteri.

“Sebaiknya Tun Dr Mahathir perlu ‘move on’ dan memberikan pandangan sebagai negarawan.

“Bukan lagi bangkit isu peribadi antara dirinya dan pemimpin negara yang dulunya diangkat oleh beliau juga,” katanya.

Mahathir yang terkenal dengan perseteruan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam episod terbaru Keluar Sekejap kendalian Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Hamdan mendakwa Presiden KEADILAN itu
sudah banyak berubah selepas hampir setahun beliau menjadi Perdana Menteri.

BACA LAGI: PM perihatin, beri sumbangan RM50,000 bantu keluarga hilang tempat tinggal

Sementara itu Muhammad Kamil berkata, komen dibuat Dr Mahathir itu dianggap sebagai tanda kekesalan.

Dr Mahathir sendiri sebelum ini melakukan perkara menjengkelkan apabila meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan tidak menepati janji untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

“Ini kerana tak manis jika nak diingatkan semula apa yang tangan Tun dah lakukan kepada pemimpin negara baik daripada Tunku, Tun Hussein, Tun Razak, Pak Lah hinggalah ke pemimpin negara hari ini.

“Tak ketinggalan kepada derita yang dialami oleh mantan pemimpin Pas yang telah meninggalkan kita.

“Mungkin Pas sekarang sudah lupa pesan mantan Presidennya, Datuk Fadzil Noor bahawa Dr Mahathir akan hidup lama untuk melihat kehancuran yang telah dia lakukan,” ujarnya.

Beliau sementara itu berkata, jika ada orang lebih tua menceceh hal-hal yang tidak sepatutnya, tiada ada guna lagi untuk meluruskan pandangannya.

“Begitulah halnya apabila seseorang sudah lanjut usia dan tanpa sedar menyuarakan rasa kesal dengan apa yang pernah dilakukannya dirinya.

“Kita iyakan sahaja dan maju kehadapan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button