Semasa

Jangan sorok benih padi, Menteri KPKM minta pembekal pastikan penanaman ikut jadual

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggesa pembekal benih padi supaya memberi kerjasama bagi memastikan proses penanaman padi berjalan lancar mengikut jadual tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat pada Selasa menegaskan, tindakan bakal diambil terhadap mana-mana pembekal yang menyembunyikan benih-benih tersebut.

“Jangan ada berlaku sorokan benih padi. Kita beri amaran kepada mereka supaya bekerjasama. Soal harga padi dan benih padi, kita runding kemudian, tapi nak bagi orang tanam padi mesti disegerakan.

“Tidak boleh guna suasana begini untuk menekan satu perkara supaya mereka mencapai cita-cita mereka dengan menyeksa orang lain.

“Kita akan bertindak kali ini. Kita tidak akan kira. Sudah berlaku penangkapan di 20 tempat,” katanya pada waktu pertanyaan menteri.

Mohamad sebelumnya menjawab soalan seorang Ahli Parlimen berhubung langkah kementerian menangani rungutan pesawah sukar membeli benih padi di pasaran.

Untuk rekod, KPKM pada Ogos lalu menegaskan penjualan benih padi sah pada peringkat runcit kepada pesawah tidak boleh dijual melebihi harga maksimum iaitu RM35 per kampit 20 kilogram (kg).

Dalam satu kenyataan, kementerian itu turut memaklumkan harga jualan kepada peruncit tidak melebihi harga maksimum ditetapkan iaitu RM31 per kampit 20 kg jualan benih di pintu kilang, manakala harga maksimum RM32 per kampit 20 kg termasuk pengangkutan.

Pembekal benih yang melanggar arahan itu boleh dibatalkan atau digantung lesen seperti diperuntukkan dibawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

BACA LAGI: Pesawah akan kekal dapat RM1,700 bagi setiap tan padi – Menteri KPKM

Bagi menangani masalah bekalan yang dihadapi pesawah te­rutama di Kedah dan Perlis, kerajaan baru-baru ini meluluskan kuota tambahan sebanyak 112,260 kampit 20 kilogram (kg) benih padi sah (BPS).

Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin dipetik laporan media berkata, kuota tambahan BPS itu diedarkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta pesawah di terutama di Kedah dan Perlis bermula Jumaat lalu.

Related Articles

Back to top button