hiburan

Siti Nurhaliza kecewa Universal Music Group sokong Israel

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan pendiriannya jauh bertentangan dengan kenyataan syarikat rakaman antarabangsa Universal Music Group (UMG) yang menyokong tindakan kejam tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Siti Nurhaliza Tarudin berkata, kenyataan label terbabit tidak mewakili mana-mana individu, tambahan pula dia bukan artis yang berpayung di bawah syarikat berkenaan.

“Kenyataan itu sangat mengejutkan (tetapi) mereka adalah sebuah label antarabangsa dan saya percaya pendirian Universal Malaysia tidak sama.

“Apa yang disuarakan juga tidak selari dengan pendirian saya. Ini kerana saya tetap menyokong Palestin, rakyatnya dan perjuangan saudara seagama kita.

“Universal Music Malaysia bekerjasama dengan saya pun hanya sebagai pengedar, bukannya saya di bawah mereka,” katanya kepada HibGlam ketika pelancaran produk BeauSiti, semalam.

Beliau memberikan maklum balas tersebut susulan sokongan terbuka UMG kepada zionis, baru-baru ini.

Terdahulu, menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram, pihak UMG tanpa selindung menghentam perjuangan Hamas dengan menyifatkan tindakan mereka sebagai ‘barbarik’.

“Tiada kata tepat yang dapat digambarkan bagi mengecam tindakan barbarik yang dilakukan oleh pengganas Hamas di Israel.

“Tragisnya, kami lihat tindakan pengganas ini akan hanya menyebabkan peningkatan kebencian dan keganasan apalagi menerusi peningkatan jumlah mangsa iaitu rakyat Palestin dan Israel yang terkorban.

“Tidak cuma itu, ia juga akan menyumbang kepada peningkatan anti-semitism dan ketaksuban lain yang mungkin akan muncul,” kata kenyataan tersebut.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button