Kerajaan salur bantuan segera RM1 juta kepada Palestin

Kerajaan Perpaduan pada Isnin menyalurkan bantuan RM1 juta serta-merta kepada rakyat Palestin.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi ketika menggulung usul perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat berkata, ia adalah tindakan segera kerajaan melalui Kementerian Luar yang mengendalikan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Dalam pada itu, Zahid menegaskan Malaysia tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel.
Malaysia tambahnya konsisten dan kekal berpendirian rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel termasuk hak dikembalikan tanah yang dirampas Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka serta berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Setakat ini, lebih 250 rakyat Palestin dilaporkan terkorban manakala lebih 1,700 cedera susulan pengeboman Israel ke atas Gaza Sabtu lalu.
Sabtu lalu, Hamas melancarkan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas Israel, dalam tindak balas mengejut yang menggabungkan gerakan pejuang melintas sempadan dan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza.
Kumpulan itu berkata, pihaknya mengisytiharkan Operasi Banjir Al-Aqsa bagi menamatkan jenayah pendudukan yang dilakukan oleh Israel sejak sekian lama.
Susulan itu, Israel bertindak melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza, dengan angka kematian dilaporkan sudah melangkaui lebih 1,100 dalam peperangan berkenaan.
Penduduk Gaza mendakwa Israel sengaja menyasarkan orang awam untuk memberi lebih tekanan terhadap Hamas.
Lima masjid dilaporkan musnah akibat serangan rejim Zionis sejak hari pertama pergolakan itu termasuk sebuah yang dibina dengan sumbangan rakyat Malaysia.
Sepasang suami isteri yang juga siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama empat anak mereka, terkorban sementara seorang anak mereka cedera akibat serangan bom rejim Zionis di Gaza, Palestin pada Sabtu.



