Semasa

Kesungguhan PM Anwar berjaya pulihkan imej MITRA – Penganalisis

Pentadbiran Perdana Menteri telah membawa keluar Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dari imej negatif yang ditanggungnya sejak bertahun-tahun lalu, kata seorang penganalisis politik.

Datuk Anbumani Balan berkata kesungguhan dan komitmen Anwar yang mengarahkan supaya Jawatankuasa Pasukan Khas MITRA ditubuhkan bagi memperbaiki persepsi orang ramai terutama dikalangan masyarakat India terhadap agensi itu telah berhasil.

“Diketuai Datuk R Ramanan selaku pengerusi jawatankuasa, kita nampak beliau sedang menjalankan tugasnya dengan cukup baik, banyak imej-imej negatif terhadap unit itu dapat ‘dibersihkan’ dalam tempoh antara empat dan lima bulan ini.

“Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuat penarafan semula risiko rasuah untuk tahun 2023 pada tahap yang rendah kepada unit tersebut dan ini cukup penting, sekali gus menolak pandangan pihak tertentu kononnya Perdana Menteri kurang memberi tumpuan terhadap pembangunan sosioekonomi kaum India,” katanya dalam satu program terbitan Bernama TV malam tadi.

Media pada Sabtu melaporkan Mitra yang sebelum ini dikaitkan dengan isu penyalahgunaan pengurusan dana sejak beberapa tahun lepas telah diketegorikan semula sebagai risiko ‘Rendah’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemakluman itu dibuat secara rasmi kepada Mitra melalui satu surat ditandatangani Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) Datuk Nor Azmi Karim pada 22 Nov lepas.

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember 2022.

Ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke 12 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memperkasakan dan memperkukuhkan lagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA)

Tambahan peruntukan juga diumumkan perdana menteri dengan niat khusus untuk membantu menangani keperluan masyarakat India di kawasan-kawasan ini secara lebih efektif sebagai sebahagian usaha pembangunan sosioekonomi masyarakat itu di negara ini.

BACA LAGI: Ramanan bawa penambahbaikan drastik, berjaya kembalikan keyakinan terhadap MITRA

Sementara itu Anbumani berkata pentadbiran Anwar yang baru memasuki setahun tidak boleh terlalu awal untuk diadili dan beliau perlu diberikan ruang yang secukupnya bagi membuktikan keupayaan dalam melaksanakan segala perancangan termasuk membuat keputusan baharu untuk masyarakat India.

“Kita ada masa empat tahun lagi, ini masa yang cukup baik untuk beliau mengkaji apakah segala kelemahan yang ada dan bagaimana ia dapat diselesaikan secara baik supaya untuk tahun depan, beliau boleh membentuk satu pasukan yang lebih baik dan efisien untuk rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, anggota Kabinet juga perlu menunjukkan kebersamaan dengan beliau dengan memainkan peranan masing-masing. Janganlah kita membuat andaian macam-macam, itu tidak adil. Apa-apa sekali pun, beliau sudah diberikan mandat untuk memimpin Malaysia dan sewajarnya kita berikan peluang untuk beliau membuktikan kemampuannya,” katanya.

Related Articles

Back to top button