Global

Malaysia tolak cadangan ‘zon selamat’ dicadangkan rejim Zionis

Hasrat rejim Zionis Israel untuk mewujudkan ‘zon selamat’ di Al-Mawasi, selatan Gaza menerima bantahan dari Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam perbahasan mengenai situasi di Asia Barat termasuk Palestin pada sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Rabu menegaskan pendirian kerajaan bahawa usaha rejim itu terangan-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Malaysia membantah tindakan mengusir rakyat Palestin secara paksa, di mana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Malaysia sangat bimbang dengan hasrat Israel untuk mewujudkan apa yang dinamakan ‘zon selamat’ yang telah ditolak oleh PBB dan agensi kemanusiaan yang lain,” tegas Zambry.

Sementara itu tambah beliau, Majlis Keselamatan PBB mesti melaksanakan tanggungjawabnya dan mengambil segala langkah yang perlu bagi merealisasikan penyelesaian dua negara melibatkan Palestin dan Israel.

Penyelesaian tersebut tegasnya mendapat sokongan padu daripada masyarakat antarabangsa dan diiktiraf oleh pelbagai resolusi PBB.

BACA LAGI: Malaysia kutuk serangan kemudahan kesihatan di Gaza

“Kitaran keganasan terhadap rakyat Palestin yang berlaku sejak sekian lama mesti dihentikan. Mereka mesti dikeluarkan daripada situasi gelap ketika ini untuk masa depan yang lebih cerah.

“Terlalu banyak masa telah dibazirkan dan terlalu banyak nyawa yang tidak berdosa telah terkorban,” tambahnya.

Beliau turut menggesa Majlis Keselamatan PBB memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar sehingga menyebabkan berlaku salah satu tragedi paling berdarah dalam sejarah dunia moden selama lebih tujuh dekad.

“Ini adalah mesej yang jelas, bukan sahaja daripada rakyat Malaysia, tetapi juga daripada seluruh warga dunia yang mencintai keamanan,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button