KPM bakal perkenal kurikulum lebih segar, berfokus
Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenal kurikulum baharu persekolahan melibatkan pendidikan karakter, penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah, ia akan diperkenalkan pada 2026.
Reka bentuk kurikulumbaharu itu jelasnya bakal menggabungkan kurikulum berasaskan standard dan kurikulum berorientasikan kompetensi yang menggalakkan pembelajaran aktif murid, menyediakan pengalaman pembelajaran dan penilaian yang lebih autentik serta bermakna.
“Ada beberapa perkara penting yang ingin ditegaskan khususnya bagaimana kurikulum persekolahan 2027 akan dipacu mulai hari ini. Pertama, pastilah berdasarkan kaji selidik awal yang telah dilaksanakan bersama responden-responden yang menyatakan hasrat dan aspirasi mereka ingin melihat kurikulum 2027 akan datang itu benar-benar mencapai maksud.
“Dalam konteks anak-anak pula, ia diperkukuhkan dari segi pendekatan pendidikan karakter dan juga elemen-elemen yang berkait rapat dengan kemahiran,” katanya dalam satu sidang media.
Fadhlina sebelumnya menghadiri program Bicara Profesional Kementerian Pendidikan (KPM) Kurikulum Persekolahan 2027, di Putrajaya pada pada Rabu.
BACA LAGI: KPM sedia garis panduan calon SPM hadapi banjir buruk
Mengulas lanjut langkah itu, beliau menegaskan pembentukan karakter yang dihasratkan adalah berteraskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan negara melalui kurikulum yang terancang dan berstruktur.
Pendidikan karakter jelasnya akan memberi penekanan kepada pembangunan diri murid yang berdaya tahan, tangkas, memiliki kesedaran sivik yang tinggi dan mentaliti pertumbuhan.
“Kita memilih pendekatan yang lebih segar, pendidikan karakter ini akan dilaksanakan sebagai satu slot masa yang khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas.
“Malah, untuk memberikan makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang bertanggungjawab, pendidikan karakter juga akan diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia,” ujarnya.