CAP saran orang ramai tanam sendiri sayur sebagai azam tahun baharu
Orang ramai disarankan supaya menanam sendiri sayur-sayuran mudah di rumah sebagai azam tahun baharu
Saranan itu dilontar Pegawai Pendidikan dan Penyelaras Pertanian Asli Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow bersempena kehadiran tahun 2024.
Jelasnya, tahun 2024 dijangka mencabar, terutama mengenai harga makanan tidak menentu. Dengan menanam sendiri sayur-sayuran itu ia jelasnya boleh menjimatkan kos.
“Kebelakangan ini, CAP menerima banyak aduan daripada golongan petani mengadu mengenai beberapa masalah seperti harga baja serta perubahan cuaca.
“Hujan dan banjir menyebabkan lebih banyak kesukaran kepada petani manakala harga sayur-sayuran meningkat sejak kebelakangan ini dan dijangka bertahan selama setahun lagi,” katanya menerusi kenyataan.
BACA LAGI: Kementerian Ekonomi alu-alukan jika ada negeri tawarkan tanah untuk aktiviti pertanian moden
Unjuran Jabatan Pertanian menunjukkan bahawa permintaan makanan dunia mungkin meningkat sebanyak 70 peratus menjelang 2050 dengan sebahagian besar unjuran peningkatan permintaan makanan global dijangka datang daripada peningkatan pendapatan pengguna di rantau seperti Asia, Eropah Timur dan Amerika Latin.
Kesan perang di Ukraine, termasuk harga gas asli yang lebih tinggi, mengganggu pengeluaran dan eksport baja global – mengurangkan bekalan, menaikkan harga dan mengancam bagi mengurangkan hasil.
Manakala krisis iklim menjadi salah satu punca utama peningkatan mendadak dalam kelaparan global.
Sementara itu Subbarow berkata, amalan berkebun bandar boleh dilakukan dengan berkesan selagi tanaman mendapat cahaya matahari yang mencukupi.
Dengan cahaya matahari yang betul, air dan kompos, sesiapa saja boleh menanam dan menuai sayur-sayuran walaupun di tempat atau ruang kecil.