Semasa

KPM bakal kembali fokus kepada kemahiran 3M

Kementerian Pendidikan (KPM) akan kembali memberi fokus kepada kemahiran asas literasi membaca, menulis dan mengira (3M).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kemahiran asas literasi itu difokuskan kembali agar kesenjangan pembelajaran dapat dikurangkan.

Kesenjangan itu jelasnya adalah isu bersama dan perlu ditangani dengan cara berbeza dan lebih kreatif untuk mendapatkan impak yang lebih ketara .

Justeru jelasnya KPM telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Literasi dan Numerasi (PLaN), Modul Bimbingan (MOBIM) dan Program STEM Executive Consultation (STEMEC) bagi menangani isu itu.

“KPM juga komited dalam memastikan murid menguasai literasi asas membaca, menulis dan mengira (3M) seawal yang mungkin bagi membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya.

“Kegagalan untuk menguasai kemahiran asas ini akan mengekang murid daripada merealisasikan potensi mereka.

“Intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum murid berpindah ke tahap II dan tahap III,” katanya dalam satu program bual bicara di Putrajaya.

BACA LAGI: KPM bakal perkenal kurikulum lebih segar, berfokus

Sementara itu Fadhlina juga turut memaklumkan Kurikulum Persekolahan 2027 akan memperkasa pelaksanaan pentaksiran bilik darjah.

Pentaksiran Bilik Darjah bertujuan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran diubah suai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid.

“Tumpuan tidak lagi diberikan kepada hasil tugasan semata. Guru akan menilai proses pembelajaran yang dilalui oleh murid secara holistik bagi membantu murid meningkatkan keupayaan dan potensi mereka dalam tugasan yang diberi.

“Dengan cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih fleksibel, menyeronokkan dan bermakna bagi guru dan murid,” katanya

Related Articles

Back to top button