Semasa

Saifuddin selar ‘putar belit’ kenyataannya soal isu penguasaan bahasa Melayu

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa tiada pihak cuba memutar belit kenyataannya berhubung penguasaan bahasa Melayu.

Gesaan itu sebagai mengulas kenyataan Pengarah NGO Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek bahawa tiada keperluan bagi warganegara Malaysia yang secara rutin memohon pasport untuk menunjukkan kecekapan dalam berbahasa Melayu.

Ia setelah Saifuddin membela seorang pegawai imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Johor yang memarahi seorang wanita yang tidak fasih berbahasa Melayu yang membuat permohonan pembaharuan pasport anaknya.

“Perkara yang kita tekankan adalah setiap warganegara Malaysia apabila berurusan di kaunter kerajaan paling kurang boleh berbahasa Melayu.

“Baik LFL atau pihak lain, jangan putar belit sampai seolah-olah syarat permohonan adalah bahasa, padahal kita tak pernah ungkap.

“Saya anjurkan semua warganegara termasuk LFL utamakan dahulu bahasa Melayu,” kata Saifuddin.

Terdahulu Saifuddin ketika mengulas insiden menegaskan adalah kewajipan selaku warganegara untuk menguasai bahasa Melayu selaras martabatnya sebagai bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

BACA LAGI: Kewajipan rakyat kuasai bahasa Melayu tidak boleh dikompromi

“Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu menjadi syarat untuk dapatkan pasport. Takkan fakta semudah itu saya naif sehingga tak tahu.

“Kalau ada penolakan contohnya mereka pemegang pasport negara melakukan kesalahan di luar seperti tinggal lebih masa, apabila membuat permohonan semula pasport sudah semestinya ada semakan dan mungkin berakhir dengan tidak lulus. Tapi kerana bahasa Melayu..tiada.” tegasnya.

Related Articles

Back to top button