Politik

Tuduhan Presiden Pas ibarat ‘menepuk air di dulang terkena percikan ke muka sendiri’

Tndakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melakukan perbandingan melampau bagi memburukkan lawan politiknya dikecam.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Marang itu yang menyamakan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dengan golongan munafik dan rejim Zionis merupakan pembohongan serta pemesongkan fakta yang boleh menyebabkan banyak salah faham berlaku dikalangan orang ramai.

“Menyamakan sikap munafik itu dengan kepimpinan Anwar yang konon menyekat dan tidak menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri di bawah pimpinan partinya (Pas) adalah satu pemesongan fakta nyata.

“Ini kerana peruntukan kepada kerajaan negeri-negeri pembangkang disediakan dalam pelbagai bentuk dan saluran. Rujuk peruntukan yang telah disalurkan kepada negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam Belanjawan 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hasanuddin berkata begitu sebagai mengulas hantaran dimuat naik Abdul Hadi di laman Facebooknya yang mendakwa konsep digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) menepati demokrasi diamalkan oleh Israel terhadap Hamas di Palestin.

BACA LAGI: Samakan pimpinan Anwar dengan Israel, Abdul Hadi buat tuduhan melampau

Sebagai rekod, pembangkang sering menggunakan isu peruntukkan bagi memberi persepsi kepada orang ramai seolah-olah pentadbiran Anwar menindas negeri ditadbir pembangkang.

Sedangkan melalui Belanjawan 2023 dibentangkan Anwar pada Febuari lalu memberikan peruntukan kepada Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis lebih tinggi daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Melalui Belanjawan 2024 pula, Kelantan muncul negeri di Semenanjung yang menerima peruntukan tertinggi daripada Kerajaan Persekutuan bagi kerja penambahbaikan infrastruktur, termasuk penyelenggaraan jalan raya.

Sementara itu, Hasanuddin mempersoalkan kepada Abdul Hadi apakah tindakan dilakukan pentadbiran Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin sebelum ini turut boleh dianggap sama seperti tindakan Zionis apabila tidak menyalurkan peruntukan kepada pembangkang ketika itu.

“Adakah tindakan menyekat peruntukan khas ahli Parlimen pembangkang yang pernah dilakukan oleh kerajaan gabungan Abdul Hadi sebelum ini juga sama seperti sekatan dilakukan oleh Zionis Israel?

“Tuduhan beliau (Abdul Hadi) kali ini seperti menepuk air di dulang terkena percikan ke muka sendiri,” ujarnya.

Pentadbiran Anwar sebelum ini sering kali menyarankan supaya kepimpinan Perikatan Nasional (PN) datang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah Yusof bagi menyelesaikan perkara itu.

Beberapa Ahli Parlimen PN baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap Anwar setelah mereka merasa kecewa atas kegagalan pemimpin PN menyelesaikan isu peruntukkan dengan kerajaan.

Related Articles

Back to top button