Semasa

KPKT tetapkan empat kriteria, pastikan dana awam dibelanja secara berkesan

Mulai tahun hadapan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mempertimbangkan pelaksanaan setiap projek baharu bagi memastikan setiap sen dana awam dibelanjakan menepati sasaran dan keperluan rakyat.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, empat kriteria utama yang akan dipertimbangkan adalah pulangan pelaburan (return of investment), analisis kos faedah, indeks kredibiliti dan reliabiliti dan juga kajian kebolehlaksanaan.

“Empat kriteria utama ini akan digunakan oleh KPKT untuk setiap projek yang hendak dilaksanakan mulai tahun depan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkat secara mampan selari hasrat Kerajaan Madani,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan, Selangor pada Khamis..

Selain memastikan dana awam diurus dengan baik, langkah itu juga jelasnya sebahagian usaha bagi mengelak sebarang ‘projek gajah putih’ di masa depan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau dan menyelenggara semua projek dilaksanakan.

BACA LAGI: K’jaan mampu kutip lebihan hasil langkah lawan ketirisan

Sementara itu Kor Ming menjelaskan, pada tahun ini KPKT berjaya melaksanakan sebanyak 5,196 projek pembangunan untuk rakyat dengan peruntukan RM700 juta.

Ia jelasnya merupakan jumlah projek tertinggi dilaksanakan dalam sejarah kementerian, melibatkan empat komponen utama iaitu sosioekonomi (746 projek); kemudahan awam (476 projek); keselamatan (33 projek) dan infrastruktur (3,941 projek).

“Antara pembangunan utama yang diberi penekanan termasuk peningkatan pembinaan infrastruktur awam seperti parit, longkang, jalan, laluan pejalan kaki, lampu jalan selain kemudahan awam seperti dewan serbaguna, kemudahan sukan dan rekreasi, pondok, bas serta tandas awam bertaraf BMW (bersih, menawan dan wangi).

“Selain itu, projek-projek sosioekonomi turut mendapat perhatian KPKT dengan menaik taraf premis perniagaan, pasar, bazar dan gerai makan bagi menawarkan peluang ekonomi yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga jelasnya turut meluluskan RM191 juta bagi pelaksanaan 3,209 unit MyKiosk dengan peruntukan RM48.8 juta, selain membelanjakan RM47.6 juta bagi projek perparitan bagi mengelak banjir kilat, serta hampir RM100 juta (RM94.6 juta) untuk kira-kira 469 projek kolam takungan banjir.

Kor Ming berkata, kesemua projek itu dilaksanakan mengikut peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan dana awam yang dibelanjakan menepati sasaran dan berbaloi dari segi kos serta harganya.

Tambahnya, KPKT juga menetapkan sasaran sebanyak 5,000 projek pada setiap tahun dan beliau yakin Kerajaan Madani mampu melaksanakan 50,000 projek pembangunan untuk rakyat jika terus diberi peluang mentadbir negara bagi tempoh 10 tahun.

Related Articles

Back to top button