Nasional

Kerajaan laksana subsidi bersasar bukan bermaksud subsidi akan ditarik sepenuhnya – Armizan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan dasar subsidi bersasar dimaksudkan bukanlah bererti subsidi akan ditarik sepenuhnya.

Sebaliknya, Armizan berkata, ia melibatkan reformasi dalam pemberian subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat.

“Teras kepada pelaksanaan dasar subsidi bersasar dan reformasi bantuan sosial adalah Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Oleh itu, saya menggesa semua rakyat untuk membuat pendaftaran sistem PADU yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 2 Januari 2024 sekali gus membuat verifikasi maklumat profil individu dan isi rumah.

“Kerajaan akan memberi tempoh selama tiga bulan sehingga 31 Mac 2024 untuk memberi ruang seluasnya kepada rakyat.

“Saya juga menggesa semua pihak memberikan kerjasama. Bukan sekadar agensi persekutuan, malah kerjasama daripada semua kerajaan negeri hingga ke peringkat daerah dan kampung amat diperlukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Besar Samat, di Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pihak KPDN sentiasa komited untuk membantu kerajaan melaksanakan agenda subsidi bersasar dengan komitmen dasar ini akan dilaksanakan dengan jaminan bantuan sosial kepada rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, bentuk dan jumlah bantuan sosial bukan hanya membabitkan aspek pendapatan, tetapi jumlah komitmen tanggungan.

“Hal ini penting untuk menangani isu berbangkit mengenai kos sara hidup,” katanya.

Related Articles

Back to top button