Semasa

JIM ambil langkah proaktif, akan buru majikan lindungi pendatang asing tanpa izin

Jabatan Imigresen (JIM) akan memfokuskan tindakan tegas terhadap majikan dan pihak melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) pada tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas operasi bersepadu di Little India, Brickfield pada Isnin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, langkah itu bagi menangani masalah kebanjiran golongan itu di negara ini.

Jelasnya, kumpulan tersebut dipercayai menjadi punca sebenar kebanjiran warga asing di negara ini.

Justeru beliau mengingatkan majikan supaya mengambil tenaga kerja mengikut saluran sah.

Sementara itu sebagai mengulas operasi yang diadakan, beliau memaklumkan seramai 370 warga asing membabitkan 335 lelaki dan 35 wanita dari India, Bangladesh, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar dan Nepal berusia 25 hingga 71 tahun diperiksa.

Lebih 100 Pati mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan pemegang kad tidak diiktiraf.

“Kita melakukan pemeriksaan terhadap 30 premis, termasuk kediaman, kedai pakaian, restoran, kedai gunting rambut, kedai barang kecantikan dan kedai serbaneka di sekitar Jalan Thamby Abdullah serta warga asing yang berjalan kaki melalui kawasan berhampiran.

“Mereka yang bersalah ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Semenyih bagi proses dokumentasi dan pemeriksaan selanjutnya,” jelasnya.

BACA LAGI: Siasat segera ejen tipu pekerja asing dijanji pekerjaan tidak wujud

Dalam operasi bersepadu bermula sekitar jam 1 tengah hari dan berakhir jam 3 petang itu diperkuatkan dengan 224 petugas melibatkan anggota JIM dan dibantu oleh JPN (11) serta APM (6).

Dalam perkembangan lain, Jafri berkata, pendaftaran untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 berakhir semalam selepas dua tahun pelaksanaan dan proses seterusnya ialah pengesahan permohonan sehingga 31 Mac ini.

“Selepas 31 Mac ini, kita akan melakukan operasi dan mengambil tindakan terhadap pekerja asing yang belum melalui proses pengesahan berkenaan, terutama mereka yang memegang kad RTK.

“Operasi juga akan dilaksanakan secara berterusan bagi menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing melanggar peruntukan undang-undang negara melibatkan Akta Imigresen 1959,” katanya.

Related Articles

Back to top button