Anwar

Amalan rundingan terus dalam perolehan kerajaan dihentikan – PM Anwar

Amalan rundingan terus melalui perolehan kerajaan akan dihalang sama sekali, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, amalan berkenaan yang sudah diamalkan sekian lama sebenarnya memberi ruang yang lebih besar bagi penyalahgunaan kuasa.

“Amalan yang pada hemat saya dari dulu menyaksikan suatu bentuk rompakan penyalahgunaan kuasa yang mudah untuk beri diberi ruang.

“Sang penguasa seperti Menteri Kewangan, senang dengan prinsip rundingan terus tapi dia akan beri ruang yang lebih luas bagi sang penguasa untuk menetapkan (harga).

“Ini pernah berlaku secara meluas dan membataskan bidang kuasa jawatankuasa teknikal dan sebagainya dan amalan rundingan terus perlu dihalang dan akan melalui proses perolehan tender,” katanya semasa hadir di perhimpunan warga Kementerian Kewangan di Persiaran Perdana, Putrajaya, hari ini.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, proses rundingan terus boleh dilakukan melalui beberapa pengecualian yang mendesak.

Beliau memberi contoh bagaimana krisis elektrik di Labuan dipulihkan melalui perolehan rundingan terus oleh Petronas.

Pada masa yang sama, Anwar turut menggesa satu laporan terperinci diberikan kepadanya berhubung kemajuan projek penyelesaian masalah gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Anwar berkata, beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta sewaktu kunjungannya ke negeri itu pada tahun lalu.

“Saya baca di media sosial ketibaan Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) disambut oleh mahasiswa UMS yang belum mandi kerana ketiadaan air. Tahun lalu apabila saya melawat ke sana, saya lulus RM3 juta. Saya tidak pasti, mungkin ambil masa pelaksanaannya.

“Tapi saya nak dapatkan laporan. Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) boleh tanya Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkenaan dan Unit Pantau MADANI boleh bantu untuk bertanya apa yang berlaku sejak kelulusan saya dan tindakan yang telah diambil oleh kementerian dan universiti untuk melaksanakannya,” katanya.

Related Articles

Back to top button