Kerajaan wujud pasukan petugas khas bagi percepat kelulusan perolehan projek – PM Anwar

Sebuah pasukan petugas khas akan diwujudkan untuk mempercepatkan kelulusan perolehan projek untuk pasukan keselamatan negara. kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican untuk memantau pasukan itu bagi memastikan semua kelulusan dipercepat.
“Minggu lalu, saya ada perbincangan santai dengan rakan di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan badan penguatkuasaan, tentunya semua menuntut perbelanjaan lebih besar kerana kelengkapan pertahanan terbiar.
“Sistem perolehan agak lemah, nama sistem perolehan tetapi tidak diperoleh dia banyak ketirisan.
“Jadi faktanya apa? Ia harus dirombak dan lebih telus, biar golongan profesional berikan pandangan dan kita nilai dari segi Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bersama Warga Kementerian Kewangan Bersama Menteri Kewangan di Putrajaya.
Tambah beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan, meskipun memasuki akhir tahun, kelulusan perolehan untuk pasukan keselamatan negara wajib disegerakan untuk melaksanakan tugas dengan baik.
“Walau akhir tahun, kita berikan keputusan (kelulusan) agar mereka teruskan kerja. Ini (input) saya dengar daripada perbincangan santai dengan pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia dan badan penguatkuasa lain,” katanya.
Baca juga:



