Politik

GRS nyata pendirian, tak akan sertai sebarang ‘langkah’ guling Kerajaan Perpaduan

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan tidak akan sesekali menyokong atau menyertai mana-mana ‘langkah’ untuk menggulingkan Kerajaan Persekutuan semasa.

Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, tindakan seperti itu hanya akan membawa kepada kekacauan selain menjejaskan kestabilan negara.

Ketika ini jelasnya negara memiliki kerajaan Madani yang berfungsi dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri yang dipimpinnya dan tiada alasan untuk menukar kerajaan.

“Jadi kenapa perlu mengucar-kacirkan keadaan? Kita bekerja demi kemakmuran negara dan rakyat, kami tidak menyokong sebarang langkah yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

“Malaysia mengamalkan demokrasi, mereka yang bercita-cita menjadi perdana menteri perlu menunggu Pilihan Raya Umum untuk melihat sama ada rakyat menerima mereka,” kata Hajiji dalam satu kenyataan malam tadi.

Melalui kenyataan tersebut Hajiji berkata GRS turut memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan yakin dengan kepimpinannya.

“Biarkanlah dia memimpin negara kita yang berbilang kaum ini ke arah kemakmuran,” katanya sambil mempersoal motif dan niat pihak yang menganjurkan ‘Langkah Dubai’ sama ada mereka sekadar ingin memenuhi agenda politik semata-mata tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat.

Untuk rekod,  sebelum ini Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg turut mengkritik sebarang usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar.

BACA LAGI: Drama politik ‘Langkah Dubai’ hanya buang masa- Abang Johari

Merujuk dakwaan Langkah Dubai beliau menyifatkan ia hanya membuang masa dan menjadikan politik negara kelam kabut semula.

Menurutnya, langkah GPS menyokong Kerajaan Persekutuan sekarang berjaya menstabilkan politik negara dan dengan berkat kestabilan itu, Sarawak kini meraih hasilnya apabila ekonomi semakin kukuh.

Related Articles

Back to top button