Bank digital pertama milik Malaysia mula operasi hari ini
Boost, peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau dan rakan konsortiumnya, RHB Banking Group (RHB) menerima kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk memulakan operasi sebagai bank digital, berkuat kuasa, hari ini.
Konsortium ini akan menjadi bank digital pertama majoriti milik Malaysia untuk memulakan operasi, dengan aplikasi yang direka untuk menangani jurang keterangkuman kewangan bagi golongan yang kurang dan tidak mendapat akses perbankan.
Konsortium Bank Digital Boost-RHB menerima kelulusan kawal selia lebih awal daripada jadual, selepas melalui audit kesediaan operasi menyeluruh yang disahkan oleh BNM.
Selepas berjaya mempamerkan infrastruktur asas yang teguh dan berdaya tahan bagi bank digital itu, kini secara rasminya dikenali sebagai Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank), konsortium ini akan beralih ke fasa ujian alfa yang membabitkan pekerja, keluarga, rakan dan kumpulan pelanggan terpilih.
Konsortium Bank Digital Boost-RHB dengan Boost menguasai 60 peratus ekuiti dan baki 40 peratus dikuasai RHB, adalah antara lima pemohon lesen yang berjaya diumumkan oleh BNM pada April 2022.
Pada kenyataan kepada Bursa Malaysia 8 Januari lalu, RHB Bank berkata konsortium berkenaan menerima kelulusan yang lebih awal daripada dijadualkan menerusi semakan operasi menyeluruh serta disahkan oleh BNM.
“Ini satu detik bermakna apabila konsortium menjadi bank digital pertama milik Malaysia yang beroperasi dengan aplikasi direka khusus bagi menangani jurang keterangkuman kewangan untuk kalangan yang kurang serta tidak mendapat perkhidmatan (akses perbankan),” katanya.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia, Aeon Credit Service mengumumkan kejayaan Aeon Bank mendapat kelulusan daripada bank pusat dan MOF bagi memulakan operasi perbankan digitalnya di negara ini.
“Perkembangan itu sekali gus menjadikan Aeon Bank sebagai bank digital Islam pertama di Malaysia yang mana kelulusan diberikan susulan pengesahan BNM terhadap kesediaan operasi bank berkenaan,” katanya.