ekonomi

1.54 juta rakyat telah daftar PADU selepas 2 minggu dilancarkan

Seramai 1.54 juta rakyat Malaysia termasuk golongan muda berusia bawah 18 tahun telah mendaftar dalam Pangkalan Data Utama (PADU) selepas dua minggu ia dilancarkan.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, beliau akan turun padang mulai minggu depan untuk menggalakkan lebih ramai mendaftar PADU terutama golongan berpendapatan rendah.

“Saya faham masih ramai yang mahu menunggu bagaimana PADU boleh membantu kehidupan seharian mereka.

“Selain dari tujuan utama untuk menentukan kelayakan penerimaan subsidi bersasar secara adil, PADU sebenarnya mempunyai peranan yang jauh lebih besar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Rafizi, salah satu daripada peranan besar PADU adalah sebagai pangkalan data tulang belakang kepada pelaksanaan Government Technology’ (Govtech).

“Govtech akan mengubah pengalaman rakyat berurusan dengan kerajaan melalui pendigitalan, lebih cekap, lebih mudah, lebih canggih.

“Jadi kita perlu menjayakan PADU. Sama-sama daftar secepat mungkin, jangan tunggu sampai 31 Mac 2024,” katanya.

Sistem PADU dibuka pendaftaran kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bermula 2 Januari lalu sehingga 31 Mac ini bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Ia mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

Related Articles

Back to top button