Nasional

14 Ogos dicadang sebagai Hari Kaligrafi Perpaduan Nasional – Aaron Ago Dagang

Kesenian Kaligrafi Huichun diangkat sebagai simbolik kepada warisan dan budaya negara sekali gus diangkat sebagai sebahagian daripada identiti dan kepelbagaian budaya oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, elemen sebegini bukan sahaja dapat tarikan pelancong, tetapi turut menyatukan kepelbagaian kaum yang ada.

“Seni Kaligrafi Huichun memegang peranan penting sebagai medium yang mencerminkan kepelbagaian budaya unik di Malaysia.

“Ia bukan sekadar seni tulisan visual, tetapi ekspresi seni yang menggambarkan sejarah, kepelbagaian, dan keindahan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyatan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan tarikh 14 Ogos sebagai tarikh yang disambut setiap tahun bagi meraikan Hari Kaligrafi Perpaduan Nasional.

“Kementerian akan mempertimbangkan untuk mengadakan Festival Kaligrafi Uniti, melibatkan tulisan Jawi, Cina, dan Tamil untuk memupuk kepelbagaian dalam masyarakat.

“Harapan saya, ia disambut di seluruh negara dan di institusi pendidikan untuk menghayati seni kaligrafi tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama.

“Sudah tiba masanya, seni kaligrafi didukung sebagai ‘unity builder’ dalam mengeratkan hubungan silaturahim, kebersamaan, dan muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mengulas mengenai penganjuran Konvensyen tersebut, beliau menegaskan usaha itu bukan sehaja menyaksikan pencapaian luar biasa dalam seni tulis, tetapi juga mencerminkan komitmen KPN dalam mempromosikan warisan budaya negara melalui inisiatif yang diperkenalkan iaitu Ini Warisan Kita.

Inisiatif Ini Warisan Kita akan menjadi keutamaan dalam membentuk perpaduan dan merayakan kepelbagaian, sekali gus mencapai visi Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian.

“Seni Kaligrafi Huichun berasal dari perkataan Mandarin ‘Hui Chun’ menjadi warisan budaya yang berharga dengan nilai-nilai estetika dan kebudayaan yang mendalam di Malaysia.

“Transformasinya yang diwarnai oleh pelbagai elemen budaya Malaysia menjadikan Kaligrafi Huichun sebagai simbol kepelbagaian budaya negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengharapkan program tersebut dapat menjadi mercu tanda kejayaan dalam usaha memelihara dan memartabatkan kaligrafi Huichun sebagai satu lagi warisan berharga negara.

“Masyarakat digesa agar sama-sama meneruskan usaha ini untuk mengekalkan tradisi kaligrafi disamping menggalakkan generasi muda untuk meminati seni tulisan yang begitu berharga dan bermakna,” katanya.

Untuk rekod, pada 2023 Kementerian Perpaduan Negara telah melaksanakan pelbagai aktiviti di bawah inisiatif Ini Warisan Kita, termasuk pameran etnik minoriti, program bersama masyarakat Chetti dan Siam, debat perpaduan, bicara bahasa kolokial, dan pengajaran bahasa Siam.

Related Articles

Back to top button