KPKM akan siasat dakwaan berlaku ‘permainan’ dalam agihan beras oleh Bernas
Dakwaan Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) bahawa berlaku ‘permainan’ terdapat dalam isu kawalan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) membabitkan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) diberi perhatian dan akan disiasat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini pihaknya bagaimanapun tidak mahu membuat spekulasi berhubung dakwaan itu.
“Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi kita memandang serius apa saja perkara (aduan) atau melihat keperluan struktur hal beras dan padi yang dibentuk pada tahun 2008 dikaji semula.
“Jadi (mungkin) pihak kerajaan akan menilai semula dari sudut pengkajian semula struktur organisasi hal beras di Malaysia,” katanya dalam satu sidang media.
Terdahulu, Mohamad mengadakan lawatan ke ARC Berkat Agrofood Sdn Bhd di Rawang sempena program Santai Akuakultur Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media pada Ahad.
Presiden Barim, Ismail Awang pada 12 Januari lalu dilaporkan berkata, ada ‘permainan’ tertentu di dalam Bernas
Beliau mempersoalkan mengapa sebahagian besar pasar raya mendapat bekalan BPT namun apabila ahlinya mahu mendapatkan bekalan dari Bernas, mereka dimaklumkan stok BPT tiada.
“Bermakna berlaku apa yang disebutkan ada kartel mengawal hal itu, jika tidak mana mungkin ahli Barim tidak mendapat bekalan,” kata Ismail.
BACA LAGI: MyCC sedia bincang mengenai isu persaingan padi dan beras
Sementara itu, Mohamad juga mengulas dakwaan mengenai benih padi sah yang tidak bermutu diedarkan sejak 10 tahun lalu kepada pesawah.
“Saya akui (isu) benih padi ini sentiasa dalam permasalahan. Jadi kita akan menangani masalah itu dengan cara terbaik,” katanya.
Mengenai pertemuan Jumaat lalu antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dengan Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) bagi perbincangan mengenai isu-isu berkaitan industri padi dan beras, Mohamad meminta semua pihak bersabar kerana ia masih di peringkat perbincangan dan siasatan.