Semasa

Mogok rider Grab: jangan tunggang isu, pembangkang digesa semak fakta

Angkatan Muda KEADILAN melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan dibuat Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu mogok penghantar p-hailing sebuah syarikat pengendali perkhidmatan baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK, Haziq Azfar Ishak berkata, kenyataan dibuat Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang mengaitkan kedudukan syarikat GrabTaxi Holdings di bawah Kementerian Kewangan jelas terpesong dan merupakan pembohongan yang nyata.

Tindakan Wan Ahmad Fayhsal yang mempertikaikan komitmen kerajaan pasca pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemu dengan 24 syarikat p-hailing beberapa bulan lalu juga jelasnya amat tidak tepat.

BACA LAGI: Bela nasib pekerja p-hailing, TPM akan usaha realisasi penubuhan SEGiM

“Anwar telah pun menyatakan komitmen meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran kepada golongan penghantar p-hailing yang diterjemahkan kepada peruntukan sebanyak RM1.6 bilion dalam Belanjawan 2024, peningkatan ketara berbanding RM1 bilion semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sekiranya benar Wan Ahmad Fayhsal mengimani dakwaannya, maka seharusnya janji yang turut dinyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2020 untuk memudahkan urusan penghantar makanan mendapatkan pinjaman dan bantuan subsidi minyak terlaksana.

“Malah kadar upah ini boleh sahaja dikekalkan terus kerana kononnya di bawah MoF, tetapi itu bukanlah kesnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, Haziq menggesa Wan Ahmad Fayhsal menjadi pemimpin pembangkang yang konstruktif dengan memantau rapat pelaksanaan program diperkenal kerajaan bagi membantu golongan itu.

Bagaimanapun jelasnya, sekiranya Wan Ahmad Fayshal kurang bijak dalam penyelidikan maka AMK boleh membantu beliau mengingat semula fakta fakta berkenaan isu p-hailing.

“Maka, AMK tidak akan teragak-agak ‘membantu’ beliau dan pembangkang menjalankan tugasnya untuk melakukan semakan terhadap impak peruntukan latihan kemahiran serta ‘upskilling’ supaya manfaatnya dimaksimumkan kepada penghantar p-hailing sedia ada yang memerlukan pembelaan,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button