Semasa

Bela nasib pekerja p-hailing, TPM akan usaha realisasi penubuhan SEGiM

Kerajaan memberi jaminan akan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi membela nasib pekerja dalam industri p-hailing dan e-hailing.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi berkata begitu sebagai merujuk mogok penghantar p-hailing sebuah syarikat pengendali perkhidmatan baru-baru ini.

“Pada hemat saya, memang SEGiM ini mesti dilakukan disebabkan 1.12 juta rakyat Malaysia terlibat dalam industri gig,” katanya selepas menghadiri Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di Pusat Konvensyen IRDKL di Shah Alam pada Ahad.

Terdahulu, kira-kira 100 orang penghantar makanan Grab berhimpun di ibu pejabat sebuah syarikat perkhidmatan P-hailing di Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat bagi membantah penurunan kadar bayaran penghantaran untuk mereka.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penurunan kadar asas daripada RM5 kepada RM4.

Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) yang mewakili golongan itu turut menyifatkan pemotongan kadar tanpa rundingan itu “sangat tidak menghormati” perbincangan yang telah dibuat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

BACA LAGI: PM Anwar tunai janji, adakan pertemuan dengan syarikat p-hailing

Sementara itu menurut Ahmad Zahid, beliau akan cuba mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri memandangkan lebih 1.2 juta individu terbabit dalam sektor ekonomi gig

“Sebelum ini pun, pernah bawa cadangan ini dan saya akan realisasikan dengan persetujuan Jemaah Kabinet.

“Walaupun ada kekangan, saya bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (akan) merealisasikan (penubuhan) Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia,” tambahnya.

“Apapun, pekerja gig harus mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mana pihak majikan mereka bertanggungjawab melakukan caruman tersebut selain caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ujarnya

Sebagai rekod, cadangan penubuhan SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu, dari peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja hinggalah pengguna.

Related Articles

Back to top button