KPKT optimis Program SMART SBB Ala Sekinchan mampu diperluas ke seluruh negara
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu optimis amalan pertanian baik seperti Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan mampu diaplikasi di kawasan penanaman padi di seluruh negara.
Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya malam tadi Mohamad Sabu berkata, keyakinan itu berdasarkan pelaksanaan program itu di Kampung Lat 1000, Perlis di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada tujuh tan metrik per hektar kepada 10.45 tan metrik per hektar.
Selain itu jelasnya, pelaksanaan program itu di Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (Ketara), Terengganu juga berjaya mencatatkan hasil sebanyak tujuh tan metrik per hektar.
“Kerajaan memandang serius perkara ini (pelaksanaan program) dan pelbagai usaha pemulihan serta intervensi telah diambil untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi negara bagi memastikan bekalan sekuriti makanan terjamin dan mencukupi sepanjang masa.
“Insya-Allah amalan pertanian baik di Sekinchan ini mampu diaplikasikan di Pekan, Pahang dan seluruh kawasan penanaman padi di seluruh negara,” katanya.
SMART SBB Ala Sekinchan adalah model baharu dengan menerapkan amalan pertanian berhasil tinggi dengan mempraktik Pengetahuan, Sikap dan Amalan yang dilancarkan pada Mei 2023.
Antara lain, ia bermatlamat meningkatkan pendapatan pesawah dengan mengaplikasikan amalan penanaman padi terbaik dan mengeluarkan padi lebih bersasar menerusi pembangunan kawasan secara berkelompok.
BACA LAGI: KPKM fokus perkasa industri akuakultur
Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Program SMART SBB Ala Sekinchan di Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian, Skim Merchong di Pekan.
Di Pahang, model baharu itu dikawal selia oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan bersama sebuah syarikat peneraju di Skim Merchong mempunyai keluasan keseluruhan sekitar 4,134 hektar dengan seramai 1,716 pesawah.
Mohamad sementara itu dalam hantaranya menyatakan harapan agar semua pihak berkepentingan dalam industri padi dan beras negara memainkan peranan masing-masing dengan baik serta berkesan untuk memastikan pengeluaran hasil lebih tinggi.