Sukan

Insentif berkaitan pelepasan cukai yuran latihan sukan diumumkan sebelum Mac – Hannah

Syarat serta insentif pelepasan cukai berkaitan yuran latihan sukan akan diumumkan sebelum Mac ini, kata Menteri Belia dan Sukan (KBS).

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Padang Merbok pada Sabtu, Hannah Yeoh berkata, KBS telah bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi memperinci terma yang boleh melayakkan orang ramai menikmati pelepasan cukai selepas membayar yuran latihan sukan disertai.

“Kita akan umumkan dalam masa terdekat bagi memastikan rakyat bersedia untuk menggunakan insentif cukai ini supaya mereka mula melabur untuk menjalani latihan sukan,” katanya .

Hannah turut memberitahu, inisiatif pelepasan cukai itu bakal meliputi 103 jenis sukan diwartakan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Oktober lalu berkata kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.

Galakan itu jelasnya akan diperluaskan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

BACA LAGI: Kerajaan lulus tambahan RM5 juta kepada FAM perkasakan Harimau Malaya

Sementara itu Hannah memaklumkan, Institut Sukan Negara sedang memperkasakan kursus kejurulatihan kepada para jurulatih bagi memastikan orang ramai menggunakan khidmat jurulatih yang benar-benar bertauliah.

“Orang ramai perlu menggunakan khidmat individu bertauliah yang ada sijil latihan sukan (sekiranya membayar yuran latihan sukan). Kami tidak mahu mana-mana pihak buat resit sendiri (untuk nikmati pelepasan cukai),” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button