Mazlan naik pangkat, sifat berani zahir nilai etos pahlawan tentera
Tindakan berani anggota tentera yang sanggup bergadai nyawa menyelamatkan dua mangsa yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada 15 Januari lalu mendapat pengiktirafan.
Koperal Mazlan Abdul Rahman, dari Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) dinaikkan ke pangkat Sarjan dalam satu majlis di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson pada Sabtu.
Pemakaian pangkat itu disempurnakan sendiri Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain .
Tidak sekadar itu, Mazlan turut dianugerahkan lambang tertinggi keberanian warga Tentera Darat Malaysia (TDM) Pisau Tentera Darat, menerima Sijil Penghargaan Khas di atas keberanian luar biasa yang dipamerkan dan sumbangan peribadi daripada PTD.
Sementara itu Muhammad Hafizuddeain berkata, keberanian Mazlan satu teladan yang baik dan amat membanggakan Tentera Darat.
Pihaknya mahu menjadikan Mazlan sebagai ikon bukan hanya disebabkan keberanian yang ditonjolkan, namun, tindakan terpuji bagi membantu di saat memerlukan.
“Apa yang dilakukan itu menunjukkan teladan bagaimana seorang anggota yang memiliki sifat keberanian dan pengorbanan menzahirkan nilai etos kepahlawanan dengan tindakan beraninya walaupun tahu ada bahaya,” katanya.
BACA LAGI: Enam projek dibangunkan di pantai barat Sabah, Labuan tingkat kebajikan anggota – Mindef
Sementara itu, Mazlan meluahkan rasa kesyukurannya diberikan penghargaan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana dia tidak mengharapkan sebarang balasan terhadap tindakannya menyelamatkan dua individu tersebut.
Menurutnya, pada masa berkenaan, dia berasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan individu lemas itu dan dengan izin Allah serta bantuan daripada pihak Maritim, bomba, dia berjaya menyelamatkan mangsa.