Enam projek dibangunkan di pantai barat Sabah, Labuan tingkat kebajikan anggota – Mindef
Kementerian Pertahanan (Mindef) melaksanakan enam projek pembangunan di kem tentera di sepanjang pantai barat Sabah dan Labuan bagi meningkatkan kebajikan anggota tentera dan mewujudkan persekitaran yang kondusif.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari kepada pemberita di kem pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan pada Sabtu.
“Lima projek dilaksana di Sabah adalah di Kem 5 Brigade dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kota Belud; 1,036 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pelbagai kelas di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kota Kinabalu; 633 unit RKAT di Kem Paradise Kota Belud bagi 5 Briged dan 19 RAMD.
“Selain itu melibatkan pembinaan bangunan tambahan bagi Wisma Laskar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Kinabalu (PTKK); dan 513 unit RKAT pelbagai kelas di Kem Lok Kawi,” jelasnya.
Manakala satu lagi projek membabitkan 123 unit RKAT pelbagai kelas di kem pangkalan TUDM di Labuan telah bermula pada Januari 2022 dan dijadual siap Mac 2025.
Terdahulu, Adly mengadakan lawatan kerja lima hari ke beberapa kem tentera di Sabah, termasuk Semporna, Sepanggar, Lok Kawi dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau turut meninjau kerja-kerja menaik taraf yang sedang dijalankan di Aerodrome di Stesen Udara Kota Kinabalu dan menilai infrastruktur di Pulau Layang-Layang serta Kapal Misi Pesisir (LMS) di Pangkalan TLDM Sepanggar.
“Tujuan lawatan ini adalah untuk mendapatkan taklimat mengenai projek pembangunan berkenaan dan menilai kesediaaan serta kecekapan aset dan anggota tentera,” katanya.
BACA LAGI: Kerajaan komited jaga kebajikan warga tentera
Adly sementara itu menjelaskan, Mindef akan terus menaik taraf aset sedia ada dan memperkenalkan teknologi baharu bagi memenuhi keperluan pertahanan negara yang semakin berkembang.
Sebagai rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai tahun lalu mengumumkan peruntukan segera RM200 juta bagi membaik pulih kediaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kelulusan itu diberikan selepas mempertimbangkan banyak kediaman ATM berada pada tahap sangat teruk dan terbiar untuk sekian lama.