Titah Al-Sultan Abdullah agar perpaduan dipertahan wajar jadi azimat rakyat – Fahmi
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa agar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu perpaduan dalam negara diutamakan dijadikan azimat.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bil 1/2024 di Putrajaya pada Selasa, Fahmi berkata, titah Al-Sultan Abdullah pada Majlis Jamuan Negara 27 Januari lepas amat meninggalkan kesan.
Terlebih lagi baginda jelasnya menjadi payung negara sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19 dan berdepan gelora politik.
“Kita lihat bagaimana Tuanku cukup terkesan, dan pesanan Tuanku agar sentiasa jaga perpaduan. Ini harus menjadi satu perkara yang harus kita utamakan,” katanya.
Justeru kata Fahmi, beliau meminta Jabatan Penerangan (Japen) untuk menerbit dan menyebar luas grafik berkaitan titah baginda kepada masyarakat umum supaya hasrat baginda itu dapat difahami rakyat.
BACA LAGI: Pertahan institusi Yang di-Pertuan Agong, jaga perpaduan sesama rakyat – Al-Sultan Abdullah
Untuk rekod, pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah yang sebak sehingga menitiskan air mata, bertitah supaya seluruh rakyat Malaysia menjaga perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat di negara ini sepenuh hati.
Baginda Al-Sultan turut bertitah agar institusi Yang di-Pertuan Agong terus dipelihara dan dipertahan pada setiap masa sebagai pelindung terakhir kepada kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara.
Menjunjung Kasih, Tuanku.