Semasa

Hukuman Najib dikurangkan: PM Anwar hormati keputusan Lembaga Pengampunan

Proses rayuan kepada Lembaga Pengampunan adalah hak setiap individu yang disabitkan dengan kesalahan untuk membuat rayuan kepada Raja, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mengulas keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membabitkan Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International berkata, bekas perdana menteri itu telah menjalani proses rayuan dan pengampunan yang sah bagi pesalah yang telah dijatuhkan hukuman.

“Saya pernah duduk di Lembaga Pengampunan sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur, dan kini dipegang oleh orang lain. Tetapi sudah tentu Raja sebagai Raja Berperlembagaan, berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi.

“Kemudian Raja, selepas mendengar dewan, akhirnya memutuskan untuk mengurangkan hukuman sebanyak 50 peratus yang bermaksud pada tahun 2028 (pembebasan),” katanya dipetik.

Anwar berkata begitu dalam satu temubual bersama Al-Jazeera pada Jumaat.

Media pada Jumaat memetik kenyataan urusetia lembaga pengampunan bahawa keputusan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib dari 12 tahun kepada enam dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sekiranya Najib tidak menjelaskan denda itu, maka hukuman penjara bakal dilanjutkan setahun lagi.

Urusetia itu menjelaskan sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ( Yang di-Pertuan Agong ketika itu).

BACA LAGI: Najib dapat pembebasan awal pada 23 Ogos 2028 – Lembaga Pengampunan

Sementara itu Anwar menegaskan, beliau menghormati keputusan dibuat Al-Sultan Abdullah dan memberi jaminan bahawa kes lain membabitkan Najib yang sedang dibicarakan di mahkamah akan melalui kehakiman secara bebas.

“Sudah pasti ada yang menyokong, ada yang tidak. Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa setiap orang yang disabitkan kesalahan boleh merayu kepada Lembaga Pengampunan.

“Pada masa yang sama, Datuk Seri Najib berhak sekali lagi merayu kepada yang di-Pertuan Agong yang baharu. Saya rasa proses itu perlu dihormati, ia di luar kuasa Perdana Menteri atau kerajaan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button