Global

Palestin: Malaysia akan terus sokong UNRWA – PM Anwar

Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia menyokong Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat dan akan meningkatkan sokongan sekiranya diperlukan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui temu bual dalam program Al Jazeera Mubasher pada Jumaat turut mengesahkan solidariti Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin.

Walaupun Malaysia sekadar sebuah negara kecil tetapi mengambil pendirian kukuh tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan melarang kapal Israel berlabuh di pelabuhannya.

Dalam bual bicara itu juga, beliau turut mengecam keputusan beberapa negara untuk menghentikan pembiayaan berikutan Israel mendakwa pekerja agensi itu terlibat dalam serangan ke atas rejim berkenaan pada 7 Oktober lepas.

“Setiap keputusan jelas dan ternyata berat sebelah. Apa yang dikatakan oleh Israel adalah penting. Ramai yang terkorban, kematian bayi sudah tidak lagi relevan (buat mereka).

“Ramai terkorban, kanak-kanak kehilangan nyawa, wanita dibunuh dan anda hanya menjadikan satu atau dua sebab teknikal, walaupun ada asasnya, anda tidak boleh berhenti memberi bayi makanan,” katanya dipetik.

BACA LAGI: Pemimpin Palestin ucap terima kasih kepada PM Anwar dan rakyat Malaysia

Perdana menteri sekali lagi turut menekankan mengenai sikap hipokrit dan dwistandard mereka yang menyokong kebebasan dan keadilan tetapi jelas bercanggah dengan pendirian mereka apabila bercakap tentang kebebasan rakyat Palestin.

“Saya rasa sungguh sukar untuk menerima kepura-puraan itu. Cukup menjijikkan jika anda boleh terus melihat orang dibunuh dan langsung tidak memberi kesan kepada perasaan anda. Ada sesuatu yang tidak kena dengan kemanusiaan,” katanya

Beliau berkata Malaysia telah melakukan apa yang termampu dan pasti tanpa ragu-ragu menyokong sebarang inisiatif yang diambil oleh dunia Islam, khususnya Arab dan negara jiran lain untuk menghentikan pencerobohan Israel di Gaza.

Related Articles

Back to top button