TLDM terima 4 kapal pemintas baharu bagi perkasa keselamatan maritim

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerima empat buah kapal pemintas baharu atau Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II daripada Gading Marine Industry Sdn Bhd (GMISB) dalam satu Majlis di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, keempat-empat FIC G2000 Mk II akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan bagi memperkukuhkan tahap keselamatan maritim terutamanya di perairan Sabah Timur selain bertindak sebagai aset pelengkap atau ‘force multiplier’ kepada TLDM.
“Perolehan FIC G2000 Mk II ini melibatkan tiga fasa di mana TLDM akan menerima keseluruhan sebanyak 13 buah FIC secara berperingkat.
“Projek ini berjaya dihasilkan dalam tempoh 16 bulan selain merekodkan kesemua empat buah FIC G2000 Mk II Fasa Pertama ini telah dibina sepenuhnya di fasiliti limbungan GMISB bertempat di Lot A2 Lumut Port Industrial, Mukim Lumut, Jalan Kampung Acheh, Sitiawan, Perak,” menurut kenyatan itu.
Tambahnya, aset-aset itu terbukti efektif digunakan dalam mengawal dan menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, pelanunan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan.
Terdahulu pada Februari 2021, TLDM telah menerima enam buah FIC G2000 Mk I dimana aset ini turut dibina oleh GMISB.
“Jika dibandingkan FIC G2000 Mk II kini terbukti lebih unik kerana ianya turut dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilancarkan secara automatik,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyaksikan majlis penyerahan aset baharu itu yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan Gading Marine GMISB, Datuk Jamalolail Mohd Yatim kepada Panglima Tentera Laut, Laksmana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.
Turut hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, wakil agensi kerajaan di Negeri Sabah serta pihak pengurusan tertinggi TLDM.



