Nasional

Tiada berlaku kebocoran, limpahan minyak dalam kejadian kapal kargo hanyut – Menteri

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah melakukan pemantauan berterusan terhadap Kapal Atosa 01 yang telah hanyut dari kawasan labuhan Kemaman di Pantai Chendor, Kuantan, Pahang pada 30 Januari lepas sehingga hari ini dan mendapati tiada sebarang pencemaran berlaku.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kapal itu didapati tersadai kira-kira 15 meter dari Pantai Chendor berpunca daripada tali sauh kapal terputus akibat cuaca buruk yang berlaku pada 24 Januari di kawasan perairan Kemaman, Terengganu.

Nik Nazmi berkata, pihaknya melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menerima maklumat berhubung perkara berkenaan daripada Pejabat Laut Kemaman pada pukul 10 pagi Selasa lepas.

“Kapal ini merupakan kapal kargo kering (dry cargo ship) berdaftar di Freetown, Sierra Leone.

“Semasa kejadian, tiada sebarang kargo atau muatan di atas kapal namun masih terdapat lebih kurang 18 tan minyak diesel yang berpotensi menyebabkan berlakunya tumpahan minyak.

“Tiga orang kru kapal yang masih berada di atas kapal semasa kejadian telah terjun ke laut bagi menyelamatkan diri,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, status kapal berkaitan adalah dalam tahanan Jabatan Laut Wilayah Timur melalui Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2023.

Justeru, JAS telah meminta Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk menunda kapal terbabit ke kawasan labuhan Kemaman dan ‘oil boom’ perlu dipasang sebagai langkah kawalan pencemaran minyak sekiranya berlaku tumpahan.

JAS turut menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] menerusi portal e-aduan JAS https://eaduan.doe.gov.my.

Related Articles

Back to top button