Semasa

Risiko berlaku runtuhan susulan, tapak lombong Bukit Perangin diarah henti tugas

Tapak lombong Bukit Perangin, dekat Kubang Pasu diberi arahan menghentikan tugas pada Khamis susulan kes kemalangan maut melibatkan seorang pekerja asing yang berlaku di kawasan itu baru-baru ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad arahan itu telah dikeluarkan menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Hasil siasatan awal yang dijalankan JMG mendapati pihak lombong telah meletakkan tali penghadang sebagai langkah kawalan keselamatan bagi mengelakkan kawasan kejadian daripada diceroboh masuk.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan sekitar mendapati tiada sebarang papan tanda keselamatan atau peringatan diletakkan berhampiran kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu tambah Nik Nazmi, laporan awal berhubung kes kemalangan maut itu juga mendapati kawasan muka lombong berada dalam keadaan tidak stabil dan mempunyai risiko runtuhan susulan.

Malah rakaman saksi utama kejadian memaklumkan para pekerja telah mengingkari arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan agar menjalankan kerja di kawasan yang telah ditetapkan.

BACA LAGI: Nik Nazmi ambil tindakan undang-undang susulan tuduhan liar Che’gu Bard

“Lawatan susulan melalui dron mendapati terdapat banyak retakan pada struktur batuan yang boleh menyebabkan runtuhan dan kawasan kerja masih dikategorikan sebagai tidak selamat.

“Segala kerja dalam lombong telah diarah untuk dihentikan merujuk kepada Seksyen 21(2) Akta Pembangunan Mineral 1994 dan arahan juga telah dikeluarkan agar kesemua akses masuk ke kawasan kejadian ditutup sehingga siasatan selesai dijalankan.

Nik Nazmi berkata pemegang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) telah diarah mengemukakan laporan lengkap kemalangan maut, kajian semula pelan pengurusan keselamatan dan laporan penilaian kestabilan cerun dan mitigasi untuk pertimbangan lanjut JMG dan kementerian.

Related Articles

Back to top button