Semasa

MOSTI sasar guna larva BSF sebagai alternatif makanan ternakan

Malaysia mahu mengurangkan kebergantungan import negara terhadap sumber alternatif utama makanan ternakan melalui penggunaan larva lalat askar hitam atau black soldier fly (BSF).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, penyelidikan berkaitan penggunaan larva tersebut bagi industri ternakan negara sedang dijalankan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Abeco Nature Science Sdn Bhd.

Jelasnya, usaha itu memandangkan larva berkenaan mengandungi kandungan protein tinggi dan sesuai dijadikan makanan ternakan selain menawarkan cara semula jadi untuk mengurangkan pergantungan antibiotik terutamanya dalam industri perladangan ternakan

“Larva lalat tersebut mempunyai kandungan protein tinggi dan sesuai untuk dijadikan makanan ternakan bagi menggantikan bahan makanan ternakan yang kita import.

“Penyelidikan ini berpotensi bagi merintis penyelesaian makanan ternakan bercirikan antimikrob dan tahap nutrisi tinggi bagi menyumbang kepada sektor makan dan akuakultur yang mampan,” katanya kepada pemberita.

BACA LAGI: Selepas jagung bijirin, Selangor intai potensi tanaman vanila

Lih Kang sebelumnya menghadiri Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) menandakan komitmen bersama FELDA dan Abeco Nature Science mengenai penyelidikan itu.

Sementara it tambah Ahli Parlimen Tanjung Malim itu, penyelidikan itu memberi sumbangan penting dalam kemajuan Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan, yang merupakan satu daripada tunjang utama dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0.

Difahamkan, penyelidikan itu dijangka akan disiapkan dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Related Articles

Back to top button