KKR warta arahan pengurangan sementara had laju Jalan Persekutuan sempena musim perayaan
Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan pengurangan had laju di semua Jalan Persekutuan di Malaysia, daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j selama 6 hari.
KKR melalui satu kenyataan berkata, pengurangan had laju dilaksana mulai hari ini hingga 13 Febuari ini bersempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Sabtu dan Ahad ini
“Pewartaan pengurangan had laju sementara itu adalah antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku pada musim perayaan,” katanya KKR.
BACA LAGI: Kenderaan berat dilarang guna jalan raya empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina
Sementara itu bagi memastikan aliran trafik tidak terganggu sepanjang tarikh berkenaan, semua kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal dihentikan.
Arahan itu bagaimanapun terkecuali untuk kerja-kerja kecemasan.
“Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR untuk semua pihak bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan, terutama di Jalan Persekutuan,” katanya kenyataan tersebut.