Semasa

Jingga 13 lapor SPRM, dakwa diesel bersubsidi diseleweng untuk biaya kegiatan politik

Aktivis Jingga 13 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat penyelewengan subsidi diesel nelayan dianggarkan bernilai RM10 billion.

Wakilnya, Mikhael Ishkandaar selepas menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kelantan di Kota Bharu hari ini mendakwa beliau mendapat maklumat berhubung perkara itu dari seorang individu berpengaruh.

Individu tersebut jelasnya bertemu dengannya seminggu sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Individu tersebut yang juga merupakan orang yang berpengaruh telah datang berjumpa dengan kami di Kuala Lumpur dan memaklumkan perkara itu berlaku di Kelantan.

“Oleh yang demikian saya mengambil inisatif bersama beberapa Aktivis Jingga 13 datang ke pejabat SPRM Kelantan bagi menyerahkan memorandum ini,” katanya Mikhael.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu hasil siasatan dijalankan pihaknya menemui beberapa isu yang mengarahkan berlaku ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.

Aktiviti itu yang didakwa digunakan untuk membiayai kegiatan politik itu dakwanya didalangi kartel, agensi berkaitan serta pemilik bot nelayan tempatan dan nelayan asing.

Justeru Jingga 13 menuntut tindakan tegas diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa termasuk ahli politik serta pegawai kerajaan

“Memorandum sama juga akan diserahkan kepada Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dalam masa terdekat,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button